23 Feb 2010

Selayang Pandang Aktiviti ADTEC Tahun 2009

Pengunjung yang dihormati,

Sedar atau tidak peredaran masa itu sungguh pantas berlalu. Apa yang dirancang pada awal tahun 2009 perlu ditimbalbalik kembali samada ianya berjaya dilaksanakan atau tidak. Pada keluaran kali ini, ADTEC ingin berkongsi beberapa aktiviti yang telah kami laksanakan pada tahun 2009 yang baru meninggalkan kita.

Pembukaan tahun 2009 iaitu pada bulan April, satu lawatan kerja rasmi ke Institusi Pendidikan dan Industri tekstil di sekitar Bandung, Indonesia telah dilakukan. Bermula dengan lawatan ke Universitas LangLangBuana (UNLA), wakil ADTEC iaitu Prof. Ir. Dr. Saparudin, Pn. Azrin Hani, dan Pn. Siti Zaharah telah disambut baik oleh wakil UNLA. Lawatan yang bertujuan untuk menjalinkan peluang dan ruang kerjasama berkaitan latihan profesional dan penyelidikan berkaitan industri tekstil ini dilihat sebagai mempunyai peluang besar dalam perkongsian ilmu. Lawatan diteruskan ke Sekolah Tinggi Tekstil (STTT) dimana draf Memorandum Persefahaman (MoU) telah dikemukakan bagi menggerakkan kerjasama yang dihajatkan. Lawatan berikutnya adalah di beberapa industri tekstil iaitu Industri Tekstil Bintang Agung, perusahaan Fabrik Tekstil Insang Sandung, dan Perusahaan Kecil Rajut (kait). Kesudian pihak industri dalam berkongsi ilmu serta pengalaman telah menyuntik semangat ADTEC dalam mencapai objektif Pusat. Sememangnya kepakaran serta teknologi yang dimiliki oleh industri amat diperlukan dalam menjana pertumbuhan ilmu pengetahuan serta penyelidikan didalam bidang tekstil.

Pada Jun 2009, ADTEC telah menerima seorang staf tetap iaitu En. Mohd Nazrul Roslan yang berjawatan Pengajar di FKMP. Berpengalaman disektor RND serta Proses Pengeluaran sebagai jurutera mekanikal di Panasonic sebelum menyertai FKMP, staf muda ini diberi kepercayaan membantu Ketua Pusat dalam kerja-kerja pengurusan serta mengkomersialkan alatan ADTEC.

Julai 2009, ADTEC telah melaksanakan satu kursus pendek berkaitan teknik sulaman pantas (embroidery) bagi staf FKMP yang berminat. Sambutan hangat staf dan kesungguhan ahli ADTEC telah membuahkan kejayaan kursus yang berlangsung selama dua hari itu. Maklum balas yang diterima daripada peserta dijadikan titik tolak bagi ADTEC melaksanakan kursus yang sama diperingkat luar Universiti. InsyaAllah, aktiviti ini akan dipeluaskan diperingkat luar pada tahun 2010 ini.

September 2009, satu lawatan rasmi industri di Ulu Tiram, Johor telah dilakukan oleh beberapa ahli ADTEC iaitu En Mohd Nazrul, En Zakaria, Pn. Azrin Hani, Pn Zaharah dan Cik Siti Hana selama sehari. Lawatan ke Sefar Fabrication (M) Sdn. Bhd. ini adalah bertujuan menjalinkan kerjasama ADTEC dan Industri didalam mencari potensi kerjasama penyelidikan dan kajian kes serta projek perundingan. Hasil lawatan disusuli dengan satu kertas cadangan beberapa projek kerjasama antara ADTEC dan Sefar. Walau bagaimanapun, projek-projek tersebut terdapat kekangan komitmen daripada ahli ADTEC untuk melaksanakannya dimana sehingga kini, tawaran kerjasama masih berstatus "pending". ADTEC telah meletakkan sasaran projek kerjasama ini dimulakan semula pada tahun 2010 ini.


Penghujung 2009 iaitu pada bulan Disember, ADTEC telah berjaya melaksanakan satu projek berstatus antarabangsa melalui penganjuran Simposium bertajuk "International Symposium on Current Advancement and Research in Textile & Packaging Technology". Penceramah yang terdiri daripada penyelidik antarabangsa dan dalam negara serta pihak industri, telah menarik minat peserta luar dari pelbagai sektor sama ada institusi pendidikan tinggi mahupun sektor swasta. Penceramah utama program ini iaitu Prof. David Hui yang diterbang khas daripada University of New Orleans, USA telah menggamit semua perhatian penonton dengan gelagat penyampaian yang tersendiri serta input bernas yang diberikan. Tidak ketinggalan wakil-wakil Universiti tempatan yang turut membentangkan penyelidikan-penyelidikan terkini mereka dibidang tekstil dan pembungkusan telah memberi suntikan semangat kepada penyelidik FKMP. Perbincangan tertutup diteruskan pada hari berikutnya bersama ADTEC dan Prof. David telah memberi projeksi baru kearah pemurnian pengurusan ADTEC. Penganjuran simposium yang telah dilaksanakan didalam kampus telah mendapat pujian daripa Dato' Naib Cancelor UTHM, Dato' Prof. Dr. Noh bin Dalimin. ADTEC mengucapkan ribuan terima kasih kepada warga kerja yang telah bertungkus lumus menjayakan program ini.

Tahun 2009 bukan sahaja diwarnai dengan aktiviti berbentuk program lawatan dan pendidikan namun aktiviti berterusan seperti penyelidikan dan penjanaan pendapatan terus berjalan sepanjang tahun. Penyelidik ADTEC telah berjaya merangkul beberapa pingat diperingkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Satu pencapaian yang amat membanggakan ini perlu digilap dan dikomersialkan bagi kegunaan orang ramai. Penyelidik-penyelidik ADTEC mensasarkan setiap projek yang berjaya akan mendapat tarikan pihak industri untuk turut serta. Aktiviti penjanaan pendapatan melalui alatan di ADTEC juga telah memberi pulangan kira-kira RM 10, 000.00 dalam masa 6 bulan. Sasaran lebih tinggi disasarkan pada tahun 2010 berikutan kegawatan ekonomi negara serta hasrat mengurangkan tahap kebergantungan Universiti terhadap bantuan Kerajaan Malaysia.

Kenangan 2009 telah pun dibukukan, hamparan 2010 baru berlabuh, diharap ADTEC terus aktif, terus agresif, terus kreatif, terus inovatif serta terus bekerjasama dalam memastikan setiap perancangan mengenai sasaran yang dirangka. Sekian, terima kasih.